PJKM di Sarawak rekod 203,244 pengunjung, jualan RM4.4 juta setakat ini

PJKM di Sarawak rekod 203,244 pengunjung, jualan RM4.4 juta setakat ini

KUCHING,. Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) telah dilaksanakan di semua kawasan Parlimen di Sarawak dengan merekodkan seramai 203,244 pengunjung dan jualan mencecah RM4.4 juta setakat ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, penganjuran program yang meliputi 154 lokasi di seluruh negeri ternyata membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

“PJKM telah terbukti dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

“Ini diakui sendiri oleh Keluarga Malaysia yang mengunjungi PJKM berdasarkan temu bual di lokasi-lokasi program,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan PJKM untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja dan mengadakan ‘walkabout’ bersama ADUN Bukit Semuja John Ilus di tapak program di Serian.

Nanta berkata, di peringkat nasional pula, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selesai melaksanakan PJKM di kesemua 222 kawasan Parlimen pada 22 Mei lalu.

“Seramai 2.796 juta pengunjung telah dicatatkan menghadiri PJKM dengan rekod hasil jualan mencecah RM54.548 juta.

“Perancangan awal pelaksanaan PJKM adalah sehingga 31 Mac sahaja.

“Bagaimanapun, atas permintaan ramai, pelaksanaan PJKM dilanjutkan sehingga Jun 2022,” jelasnya.

Sepanjang pelaksanaan PJKM katanya, pelbagai barangan keperluan harian dijual pada harga istimewa sehingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran setempat.

Antara barangan yang menjadi tumpuan pengunjung adalah ayam segar, telur ayam, minyak masak, gula, tepung dan sayur-sayuran, katanya.

PJKM dilaksanakan dengan sokongan dan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi-agensi kerajaan lain seperti FAMA, LKIM, NAFAS, NEKMAT dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

Ia turut disokong oleh rakan-rakan strategik daripada pemain industri peruncitan yang terdiri daripada pasar raya-pasar raya besar, pasar raya, pembekal dan pemborong.

Sementara itu, seramai 176 pegawai penguat kuasa dan 101 pegawai pemantau harga KPDNHEP di seluruh negeri Sarawak akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tidak berlaku elemen pencatutan terhadap barangan keperluan harian dalam pasaran.

Orang ramai boleh menyalurkan sebarang pertanyaan dan aduan terus kepada KPDNHEP melalui talian WhatsApp di 019-279 4317 atau 019-848 8000, aplikasi ez-Adu atau e-mel kepada [email protected]

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )