PKP: Kaunter TH beroperasi secara janji temu mulai Selasa

PKP: Kaunter TH beroperasi secara janji temu mulai Selasa

KUALA LUMPUR,. Semua kaunter di 123 pejabat cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) seluruh negara akan dibuka secara janji temu bermula Selasa selaras dengan langkah kerajaan memperketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pengarah Eksekutif Operasi TH Mustakim Mohamad berkata pendeposit boleh membuat janji temu dengan melayari laman sesawang TH di www.tabunghaji.gov.my dan klik pada menu pilihan urusan janji temu yang akan dimuat naik bermula hari ini.

Beliau berkata pendeposit boleh membuat janji temu untuk berurusan di kaunter bermula 9.30 pagi hingga 1 petang setiap hari (kecuali cuti umum dan mingguan).

“Para pendeposit yang hadir hendaklah memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa dipatuhi dengan sentiasa memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di ruangan pejabat.

“Bilangan pendeposit dalam ruangan pejabat juga akan dihadkan bagi memastikan SOP terpelihara.

“Pendeposit perlu mendaftar masuk dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis TH,” katanya.

Pada masa sama, TH menyarankan pendepositnya agar mengguna pakai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan melalui THiJARI selain boleh memilih saluran perkhidmatan elektronik dan dalam talian bank rakan strategik TH serta Ejen Kutipan TH di lebih 10,000 titik sentuh seluruh negara terutama sepanjang tempoh PKP 3.0.

Bagi pendeposit yang ingin mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat awal berkaitan Hibah Amanah dan urusan Pusaka, TH juga menyediakan kemudahan panggilan semula yang boleh diakses melalui laman sesawang TH.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This