PKP: Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan, Piala Agong tangguh

PKP: Kejohanan Ragbi 7s Kebangsaan, Piala Agong tangguh

KUALA LUMPUR,. Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) membuat keputusan untuk menangguhkan dua kejohanan domestik yang dirancang untuk tahun ini berikutan keadaan semasa pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Kejohanan KRM Fahmy Jalil berkata Kejohanan 7-sepasukan Kebangsaan (National 7s) yang dijadualkan bermula 31 Julai hingga 1 Ogos dan Piala Agong yang sepatutnya bermula 14 Ogos terpaksa ditangguh sehingga keadaan pulih.

Beliau menjelaskan bahawa keputusan itu diambil ketika Mesyuarat Exco secara maya yang berlangsung petang tadi, dengan mengambil kira PKP dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan bermula Selasa ini.

“Sebarang makluman tentang tarikh baru kejohanan anjuran KRM akan dimaklumkan kemudian setelah mengambil kira situasi semasa yang tidak menentu buat masa kini,” katanya menerusi kenyataan.

Keputusan itu juga bakal menyebabkan arena ragbi negara kemarau tanpa kejohanan bagi tempoh hampir dua tahun akibat pandemik.

Kejohanan domestik terakhir yang dianjurkan ialah Piala Agong 2019, yang menyaksikan Terengganu merangkul gelaran sulungnya selepas menundukkan juara bertahan Sabah dalam final pada November tahun itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )