
PKP: Lelaki menyamar polis, samun lelaki warga asing ditahan
JOHOR BAHRU,. Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai menyamar sebagai polis dan menyamun seorang lelaki warga asing di Kampung Tembioh, dekat Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata lelaki berumur 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.20 malam di Jalan Kampung Kelantan, Kota Tinggi, kira-kira sejam selepas menyamun warga asing itu.
“Semasa pemeriksaan, lelaki yang didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu turut bertindak agresif dan membuat ugutan terhadap pegawai polis yang memeriksanya.
“Polis turut merampas sebuah motosikal dan dua telefon bimbit milik mangsa daripadanya,” kata Ahsmon menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan lanjut mendapati lelaki itu memiliki 10 rekod jenayah dan berkaitan dadah manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif terhadap dadah jenis methamphetamine.
Lelaki itu direman selama tujuh hari sehingga 29 April untuk siasatan mengikut Seksyen 392, Seksyen 170, Seksyen 186 dan Sekyen 506 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020, katanya.
— BERNAMA