PKP : Penggiat kayu-kayan Sabah rayu teruskan operasi, eksport produk

PKP : Penggiat kayu-kayan Sabah rayu teruskan operasi, eksport produk

KOTA KINABALU,. Persatuan Perusahaan Kayu-Kayan Sabah (STIA) berharap kerajaan negeri itu akan membenarkan penggiat industri menyambung sebahagian pengeluaran serta mengeksport barangan siap dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Dalam satu kenyataan, Presidennya Chua Yeong Perng berkata mereka berharap kerajaan Sabah dapat memberi kelulusan itu kerana ia boleh menjejaskan usaha pihak industri membayar gaji para pekerja dalam bulan-bulan akan datang jika tidak dibenarkan meneruskan operasi.

“Penghantaran barang siap, kawalan pergerakan bahan mentah dan usaha memulakan pengeluaran secara sistematik berperanan penting bagi mempertingkat keupayaan industri mengekalkan serta membayar gaji kepada para pekerja,” katanya.

Malah, STIA menganggarkan, terdapat kira-kira 120 kontena produk bernilai RM9 juta-RM10 juta di pelabulan dan pelbagai lokasi gudang.

Selain itu terdapat sejumlah 100,000 hingga 120,000 meter padu kayu tebang bernilai antara RM35 juta dan RM45 juta yang pada masa ini tersadai akibat pelaksanaan PKP tersebut.

“Nilai serta kualiti kayu tersebut akan terus merosot setiap minggu. Kami menjangkakan secara keseluruhannya, kesemua kayu berkenaan akan kerugian kira-kira 15-20 peratus daripada nilai sebenar.

“Bagi spesies kayu tertentu pula sudah kehilangan nilai komersialnya,” kata Chua.

Menurutnya, kilang di peringkat hiliran pula berdepan masalah kritikal membabitkan bahan pelekat yang hampir tamat tempoh.

Sehubungan itu, Chua mencadangkan supaya kilang tertentu dengan bahan pelekat sedemikian dibenarkan beroperasi dalam tempoh pengeluaran terhad bagi menggunakan stok terbabit.

Menurutnya, sekiranya PKP dilanjutkan lagi selepas 14 April, STIA meminta kerajaan untuk membenarkan aktiviti huluan dan hiliran tertentu memulakan operasi semula.

Beliau berkata, negeri-negeri lain seperti Sarawak dan Johor misalnya yang telah dibenarkan untuk beroperasi dalam skala pengeluaran lebih kecil.

“Adalah difahamkan bahawa pengeluaran di negeri-negeri itu adalah terhad dalam kluster perindustrian kayu-kayan khusus dan sekatan dikenakan dari segi bilangan pekerja yang dibenarkan untuk kembali bekerja,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This