PKP: Peniaga Kecil Rayu Bantuan Kerajaan

KOTA KINABALU,. Tindakan segera kerajaan perlu bagi membantu peniaga kecil yag terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Sebahagian besar golongan ini yang tidak dibenarkan berniaga sepanjang dua minggu PKP dilaksanakan bermula 18 hingga 31 Mac ini terputus pendapatan harian sehingga kehidupan mereka bertambah sukar.

Salah seorang peniaga makanan, Hernawati Pandi, 35, berharap Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri mengambil langkah drastik bagi membantu golongan ini yang hilang sumber pencarian.

Kata ibu tunggal yang tinggal di Taman Putera Jaya, Telipok di sini, beliau menyokong penuh PKP namun bimbang sekiranya tidak ada apa-apa bantuan daripada pihak kerajaan sekiranya pelaksanaannya dilanjutkan.

“Saya hanya berharap kepada jualan makanan untuk perbelanjaan harian tanpa ada simpanan mencukupi khususnya bagi membeli keperluan barangan dapur sepanjang pelaksanaan PKP.

“Pendapatan kasar saya hasil jualan kira-kira RM2,500 sebulan selepas tolak gaji pekerja seramai tiga orang sekadar cukup makan untuk membayar bil-bil dan persekolahan anak tunggal saya.

“Justeru, saya amat berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk membantu kami penjaja kecil yang hanya ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui, di sini.

Luahan sama turut dikongsi seorang lagi ibu tunggal, Clarice Sinidol, 44 yang bergantung hidup hasil jualan burger setiap hari di Pekan Papar dengan hasil pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Menurutnya, beliau terpaksa menggunakan duit simpanan yang semakin kurang bagi menampung perbelanjaan keluarga sejak PKP dilaksanakan dan dikhuatiri tidak mencukupi sehingga 31 Mac ini.

“Jika kerajaan boleh salurkan RM600 membantu pekerja swasta di bawah gaji RM4,000 selama 6 bulan, kenapa tidak boleh buat perkara sama terhadap kami yang hanya berharap hasil jualan setiap hari?.

“Kami juga rakyat Malaysia yang seharusnya dibantu..saya akui memang menerima bantuan kebajikan serta Bantuan Sara Hidup namun tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga,” katanya.

Ini kerana katanya, beliau mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan bertanggungjawab menjaga ibunya yang sudah tua termasuk membayar bil-bil perbelanjaan lainnya.

Sehubungan itu katanya, bantuan kerajaan secara one-off berupa kewangan atau pun insentif khas diperlukan kepada golongan ini yang terkesan ekoran langkah kerajaan menerusi PKP untuk membendung Covid-19.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan RM600 sebulan untuk tempoh maksimum enam bulan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji susulan wabak Covid-19.

Kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta menerusi Program Pengekalan Pekerja yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk pekerja diberi notis tanpa gaji bermula 1 Mac lalu.

Perkeso dalam satu kenyataan berkata, bagi pekerja sektor swasta pula, mereka mesti berdaftar dan mencarum dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso dan terhad kepada pekerja bergaji RM4,000 dan di bawah.

Manakala, pihak majikan harus membuat permohonan bagi pihak pekerja dan majikan perlu menyalurkan RM600 terus kepada akaun pekerja.-Harian Ekspress

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )