PKPB: 122 sekolah di Sabah ditutup esok – KPM

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan sebanyak 122 sekolah harian terdiri daripada 86 sekolah rendah, 25 sekolah menengah dan 11 sekolah swasta di kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah akan ditutup mulai esok.

KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan langkah itu diambil susulan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berkuat kuasa 12.01 tengah malam 7 Okt.

“KPM memutuskan sebanyak 122 sekolah harian di kawasan tersebut akan ditutup sehari lebih awal, iaitu bermula esok 6 Okt.

Sekolah di luar kawasan PKPB akan beroperasi seperti biasa sebagaimana dijelaskan dalam kenyataan media KPM yang dikeluarkan pada 3 Okt lalu,” katanya.

Menurut kenyataan itu juga KPM menyedari kekhuatiran ibu bapa dan warga sekolah berkaitan keadaan semasa penularan wabak COVID -19.

Dalam pada itu, KPM memaklumkan pihaknya sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan warga sekolah terpelihara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, berkata pelaksanaan PKPB itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan COVID-19 di tiga lokasi berkenaan, selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )