PKPB: Beberapa sektor pertanian di Sabah dibenarkan beroperasi – Masidi
KOTA KINABALU, 29 Okt — Kerajaan negeri Sabah hari ini memutuskan untuk membenarkan beberapa sektor pertanian di negeri ini, beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata antaranya sektor perladangan koko, getah dan kelapa sawit, dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Antara SOP yang perlu dipatuhi majikan adalah menyediakan protokol di tempat kerja yang meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan jangkitan, mengikut standard yang ditetap KKM bagi mencegah penularan COVID-19.
“Majikan juga perlu memastikan maklumat mengenai tahap kesihatan pekerja direkodkan dan disimpan majikan atau pemilik ladang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Masidi berkata setakat hari ini sebanyak 102,730 bantuan bakul makanan telah diagihkan kepada golongan sasar di seluruh Sabah.
— BERNAMA