PKPB Labuan: Perhimpunan ramai adalah dilarang – MKN Labuan

LABUAN,. Perhimpunan orang ramai termasuk seminar, bengkel, kursus latihan, persidangan, taklimat dan pameran di Labuan, adalah dilarang dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga, dengan sebanyak 92 kes positif direkodkan, setakat ini.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan Nurzaliza Kartika Abdullah berkata larangan itu juga termasuk membabitkan aktiviti yang berkaitan dengan Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE).

Bagaimanapun, beliau berkata program latihan dalaman yang sedang berlangsung masih boleh diteruskan namun hanya dibenar diadakan di perkarangan pusat latihan.

“Pertemuan secara bersemuka tidak digalakkan dan lebih baik diadakan menerusi persidangan video. Majlis perhimpunan rasmi dan tidak rasmi oleh sektor kerajaan atau swasta juga dilarang.

“Perhimpunan sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis akikah, majlis bacaan tahlil, ulang tahun, perayaan ulang tahun dan perjumpaan juga dilarang,” katanya kepada pemberita ketika memberi taklimat mengenai prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Labuan yang berkuat kuasa dari 17 sehingga 30 Okt ini.

Selain itu katanya, aktiviti pelancongan ke kawasan dan dari kawasan yang dikenakan PKPB juga dilarang.

“Aktiviti dalaman, berkelah, aktiviti kolam renang, aktiviti yang melibatkan sentuhan fizikal, permainan sukan berkumpulan, kejohanan dan permainan sukan dengan penonton tidak dibenarkan semasa PKPB,” katanya.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )