PKPB: Penduduk diminta hubungi Pegawai Daerah untuk bantuan bakul makanan

KOTA KINABALU,. Penduduk di kawasan yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini diminta menghubungi pegawai daerah atau pegawai kebajikan kawasan masing-masing bagi mendapatkan bantuan bakul makanan.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya berkata ini kerana bantuan bakul makanan bagi kawasan tersebut diutamakan kepada keluarga yang dikuarantin di rumah masing-masing.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana COVID-19 daerah akan menyelaras agihan bakul-bakul makanan itu di daerah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan sesetengah penduduk yang mendakwa bantuan tersebut tidak sampai kepada mereka.

Semalam, Shahelmey ketika melawat Pusat Agihan Bantuan Makanan di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, berkata bantuan bakul makanan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah.

Namun, tambahnya, agihan bakul makanan juga akan dibuat di semua daerah yang telah dilaksanakan PKPB.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata kes positif COVID-19 di Kota Kinabalu dijangka meningkat secara mendadak dalam tempoh terdekat berikutan masih banyak keputusan ujian saringan melibatkan Kluster Penjara Kepayan belum diperoleh.

“Sebanyak 2,700 banduan dan kakitangan yang ada di Penjara Kepayan dan sekiranya peratusan positif tinggi maka kes di Kota Kinabalu akan meningkat secara mendadak dalam beberapa hari ini.

“Bagaimanapun pihak kesihatan akan memberikan perhatian penuh bagi Kluster Penjara Kepayan dan buat masa ini proses ujian saringan berkenaan berjalan lancar,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah hari ini.

Jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada hari ini ialah sebanyak 535 kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )