
PKPB Sabah: Urusan nikah, cerai, rujuk di pejabat JHEAINS tiga hari seminggu
KOTA KINABALU,. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) membenarkan urusan nikah, cerai dan rujuk (NCR) tiga hari seminggu di semua pejabatnya berkuat kuasa 16 Nov hingga 12 Dis ini atau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menurut kenyataan JHEAINS yang dimuat naik menerusi Facebooknya hari ini, kaunter urusan akan dibuka pada 9 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap Isnin dan Rabu serta dari 9 pagi hingga 11.30 pagi pada Jumaat.
“Urusan kaunter antara lain melibatkan pengesahan dokumen NCR, kelulusan perkahwinan, pendaftaran NCR, pendaftaran temu duga khas kursus praperkahwinan dan akad nikah.
“Orang ramai yang berurusan di kaunter diingatkan untuk mendaftar diri menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis maklumat diri ke dalam buku khas disediakan serta melakukan pemeriksaan suhu selain wajib memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal ketika berurusan,” menurut kenyataan itu..
Kenyataan itu memaklumkan hanya individu yang berurusan sahaja dibenarkan masuk ke dalam premis.
Menurut JHEAINS, upacara akad nikah hanya dibenarkan di pejabatnya sahaja dan hanya boleh dihadiri oleh pasangan lelaki, pasangan perempuan serta wali.
Janji temu akad nikah hendaklah setelah mendapat kelulusan berkahwin daripada pendaftar nikah dan tarikh akad nikah akan ditentukan oleh pendaftar itu berdasarkan kekosongan waktu yang ada.
Sementara itu, temu duga khas praperkahwinan Islam bagi Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam hanya terbuka kepada pasangan yang akan melangsungkan majlis akad nikah dalam tempoh PKPB sahaja.
Pemohon hendaklah melengkapkan borang kebenaran berkahwin beserta dokumen diperlukan terlebih dahulu dan membayar yuran RM50 bagi setiap peserta.
Bagi kursus praperkahwinan secara dalam talian, ia terbuka kepada mana-mana individu yang belum berkahwin dan yang bermastautin di Sabah sahaja, dengan dikenakan yuran RM100 setiap peserta.
Kursus ini mengandungi empat tajuk utama dengan jumlah lima jam sahaja dan borang penyertaan boleh diperoleh di https://forms.gle/WszCiGhtkwkw4Rgu6.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 088-522 222 / 522 205.
— BERNAMA