
PKPD akan dilaksana jika kes positif COVID-19 meningkat – Muhyiddin
KUALA LUMPUR, 10 Mei — Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati rakyat agar tidak alpa dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan pelaksanaan perintah itu memenuhi matlamatnya.
Perdana Menteri berkata sekiranya berlaku peningkatan kes COVID-19 yang ketara semasa penguatkuasaan PKPB, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan terjejas.
“Kita nak elakkan perkara ini (PKPD) daripada berlaku,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan hari ini.
Menurut perdana menteri tempoh beberapa minggu akan datang adalah kritikal bagi negara berikutan jumlah orang ramai yang keluar untuk bekerja meningkat, sekali gus risiko jangkitan juga meningkat.
“Oleh sebab itu, saya nak merayu kepada saudara-saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Bukan susah. Mudah sahaja. Elakkan tempat yang sesak, amalkan jarakan sosial dan pakai penutup hidung dan mulut serta sentiasa basuh tangan dan guna hand sanitiser,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata daripada 1,178 mukim, bahagian, zon, subzon dan presint di seluruh negara, sebanyak 1,112 (94.4 peratus) telah dikategorikan sebagai hijau, manakala 62 kawasan (5.2 peratus) dikategorikan sebagai kuning dan hanya empat kawasan (0.34 peratus) masih berstatus merah.
Empat kawasan berkenaan ialah Mukim Batu di Gombak, Selangor; Zon Batu, Mukim Batu, Kuala Lumpur; Zon Kampung Baru, Mukim Bandar, Kuala Lumpur; dan Mukim Pedas, Rembau, Negeri Sembilan.
Muhyiddin turut mengingatkan penduduk di kawasan lain agar tidak berkunjung ke kawasan zon merah berkenaan bagi mengelakkan terdedah kepada jangkitan wabak COVID-19.
“Untuk penduduk di kawasan hijau, jangan ingat anda semua telah selamat dan boleh bergerak ke sana sini dengan bebas. Saudara saudari mungkin beranggapan yang saudara-saudari tidak akan dijangkiti wabak ini kerana berada di kawasan hijau.
“Tetapi saya nak ingatkan, virus COVID-19 ini adalah musuh senyap yang kita tak nampak. Ia boleh menyerang kita pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” katanya.
— BERNAMA