PKPP: Kawasan tumpuan kembali rancak, hidupkan sektor pelancongan Sarawak

KUCHING,. Kawasan tumpuan pelancong di Sarawak dilihat kembali rancak setelah kelonggaran diberikan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, melalui pemerhatian yang dijalankan, terdapat peningkatan dari segi trend orang ramai di pusat tumpuan.

Ujarnya, hal ini sekali gus memberi impak positif kepada perkembangan industri pelancongan negeri tersebut.

“Saya melihat ia adalah satu respons yang amat positif. Tempat-tempat seperti taman negara, hutan rimba dan restoran sudah dibenarkan (untuk beroperasi seperti biasa).

“Apa yang dilihat sekarang, kita sudah sampai ke tahap seperti sediakala sebelum wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Jamek, di sini, pada Jumaat.

Tambah beliau, kini syarikat penerbangan juga beransur-ansur beroperasi meskipun masih perlu akur kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) tersendiri mengikut arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bukan sahaja AirAsia, tetapi semua penerbangan seperti Malaysia Airlines dan Malindo mahu kembali beroperasi seperti biasa.

“Saya percaya industri pelancongan akan kembali seperti sediakala dalam beberapa bulan ini,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )