PKPP: PLUS jangka aliran trafik lonjak hingga 15 peratus

PKPP: PLUS jangka aliran trafik lonjak hingga 15 peratus

KUALA LUMPUR,. Aliran trafik di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dijangka melonjak hingga 15 peratus, antara Jumaat hingga Ahad ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa Rabu ini.

Katanya, jangkaan lonjakan trafik itu, berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing, susulan kelonggaran perjalanan rentas negeri diberikan kerajaan sepanjang PKPP.

“PLUS sebelum ini, menyaksikan kadar penurunan trafik agak mendadak di semua rangkaian lebuh rayanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pada 18 Mac lalu.

“Namun, jumlah berkenaan mencatatkan peningkatan konsisten sejak Hari Raya Aidfilfitri hingga kini.

“Sebanyak 1 juta kenderaan dicatat menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS pada hari biasa dan penurunan sebanyak 20 peratus pada hujung minggu,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula Rabu ini hingga 31 Ogos depan, menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pelaksanaan PKPP antara lain membenarkan pergerakan rentas negeri selain beberapa aktiviti dilarang ketika PKPB yang akan berakhir esok.

Serentak pelaksanaan PKPP, Azman mengumumkan, semua kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya kendalian PLUS akan dibuka kepada pengguna.

“Pembukaan semua kemudahan di R&R berkenaan dibuat dengan menerapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial terus dipatuhi.

“Semua gerai R&R termasuk tempat makan dibuka mulai 15 Jun ini, selain PLUS akan menjalankan kerja pembersihan menyeluruh di semua R&R sebagai langkah tambahan bagi kerja pembersihan berjadual, antara 12 hingga 14 Jun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, transaksi langsung bagi urusan tambah nilai di lorong perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go tidak disediakan bagi membendung penularan COVID-19.

“Kita juga sedang memuktamadkan pelaksanaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di semua lebuh raya kendalian PLUS untuk keselesaan pelanggan pada masa akan datang dengan pengumuman akan dibuat dalam tempoh terdekat.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan tambah nilai di lebih 11,000 pusat disediakan sebelum menggunakan lebuh raya,” katanya.

–BH ONLINE

CATEGORIES
TAGS
Share This