PKR adakan Konvensyen ‘Reformasi Dua Dekad’ bulan depan
KUALA LUMPUR,. PKR akan menjelajah ke setiap negeri dan mengadakan konvensyen bertemakan ‘Reformasi Dua Dekad’ bermula Oktober ini.
Pengarah Komunikasinya, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanatnya kepada ahli parti di setiap negeri.
Katanya, ia kemudian akan disusuli dengan Kongres Nasional PKR pada 6 hingga 8 Disember.
“Jadual konvensyen itu akan diumumkan nanti selepas selesai penyelarasan dengan tarikh persidangan Parlimen dan pembentangan belanjawan akan datang.
“Konvensyen itu akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad mengikut negeri yang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR di ibu pejabat parti itu.
Antara yang menghadiri mesyuarat dipengerusikan Anwar itu adalah Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Naib Presiden, Tian Chua; Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian. – BERNAMA