
PKS perlu nilai semula model perniagaan, iktiraf cadangan nilai – MITI
KUALA LUMPUR, 3 Sept — Syarikat, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perlu menilai semula model perniagaan semasa mereka, mengenal pasti pasaran sasaran dan mengiktiraf cadangan nilai mereka termasuk cara penyampaian produk atau perkhidmatan semasa pandemik COVID-19, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI Datuk Seri Norazman Ayob berkata: “Organisasi atau entiti perniagaan perlu mula dengan menyoal; jika berlaku pandemik atau krisis yang akan datang, bagaimana ia memberi kesan kepada saya atau organisasi saya, dan apa jenis strategi termasuk transformasi digital yang perlu saya ambil untuk kekal berdaya tahan dan mampan.
“PKS memainkan peranan penting dalam ekonomi kita, bagaimanapun, kesedaran mereka mengenai menerima pakai teknologi Industri 4.0 agak rendah,” katanya pada Standard Chartered Live Webcast mengenai ‘Malaysia – At the Heart of Digitalisation’.
Norazman berkata : “Dari segi perspektif, katakan terdapat dua kumpulan syarikat, kumpulan pertama mempercayai pendigitalan merupakan ciri penting untuk berdaya saing, manakala kumpulan lain terdiri daripada yang kebanyakannya PKS berpendapat pendigitalan itu adalah baik.
“Di sinilah kita perlu mengubah pemikiran PKS — bahawa pendigitalan itu bukan lagi baik…tetapi satu keperluan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi Malaysia Digital Economy Corporation Datuk Fadzli Shah Anuar berkata PKS merupakan komponen utama dalam ekonomi dan kepentingannya tidak boleh dipertikaikan berikutan sektor itu menyumbang 98.5 peratus daripada semua pertubuhan perniagaan di Malaysia, tidak termasuk yang tidak didaftarkan.
Berdasarkan statistik, Fadzli berkata PKS, iaitu 90 peratus adalah dalam sektor perkhidmatan, menyumbang lebih satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyumbang dua pertiga daripada jumlah pekerjaan.
“Teknologi adalah mahal, saya fikir amat sukar untuk mencari teknologi transformasi yang asas dan mampu milik. Ia sebenarnya cabaran yang amat besar.
“Apabila sesuatu itu mahal dan anda tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membayar bil dan mengekalkan pekerja anda, walaupun tanpa COVID-19, bagaimana kita dapat menjangka 98.5 peratus daripada perniagaan akan beralih kepada digital esok?” kata Fadzli.
“Kami tidak begitu bimbang mengenai syarikat besar, mereka akan melabur dalam ekonomi dengan teknologi yang sesuai, bagaimanapun PKS perlu lebih banyak bimbingan…tahap kesedaran mereka masih rendah,” katanya.
— BERNAMA