PKW diperluas kepada tahanan jalani hukuman tiga tahun

PKW diperluas kepada tahanan jalani hukuman tiga tahun

IPOH,. Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kepada tahanan yang menjalani hukuman kurang setahun, kini dipanjangkan kepada mereka yang menjalani hukuman penjara tiga tahun, bagi menangani masalah kesesakan dalam penjara.

PKW merupakan perintah hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap pesalah tanpa mereka perlu menjalani hukuman penjara, sebaliknya mereka diwajibkan hadir pada setiap hari di pusat kehadiran yang diperintahkan untuk menjalani hukuman ‘kerja wajib’ bagi tempoh tidak lebih tiga bulan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan juga bersetuju agar tempoh PKW ditingkatkan daripada tiga bulan kepada setahun.

“Ini bermakna kesalahan kecil yang boleh kita jaga seperti yang kita lakukan parol biasa, kita lakukan… kita baru luluskan perkara ini (di peringkat Kabinet) minggu lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

“Kita juga akan tambah aset yg lain untuk memastikan pegawai dan anggota penjara boleh mengawal selia mereka yang menjalani PKW ini,” tambahnya.

Sementara itu Hamzah berkata, Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) tidak akan diwujudkan semula bagi menangani kes-kes jenayah berat dan kegiatan kongsi gelap dalam negara.

Beliau berkata ketika ini pasukan-pasukan sedia ada dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mencukupi, dan tidak perlu menambah pasukan tindakan khas yang lain buat masa ini.

“Kita rasa mampu untuk kita lakukan tanpa gerup-gerup (pasukan khas) STAFOC dan STAGG. Yang pentingnya kita perlu ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada. Selain itu, tugas-tugas yang diberikan kepada pegawai dan anggota, kalau mampu kita lakukan, kita akan lakukan ,” katanya.

Kedua-dua pasukan taktikal khas polis itu ditubuhkan pada 2014, namun ia dibubarkan pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula PDRM.

Sementara itu Hamzah berkata, polis sudah mengambil tindakan terhadap pihak yang terbabit dalam perarakan pengebumian anggota kongsi gelap yang tular di media sosial sejak Rabu lepas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This