Plot rampasan kuasa: Venezuela fail aduan ke badan antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Venezuela akan mengemukakan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) aduan mengenai plot rampasan kuasa menggunakan askar upahan dan mengetengahkan bukti di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Presiden Nicolás Maduro.

Pada sidang media di Caracas, Rabu beliau berkata Venezuela mahukan perdamaian, “masalah rakyat adalah urusan dalaman dan hanya dengan kemampuan dan cara kita sendiri yang boleh menyelesaikannya.”

“Kami akan ke ICC, kami akan ke Majlis Keselamatan PBB, saya telah memberikan arahan kepada Menteri Luar Jorge Arreaza dan duta Samuel Moncada (Perwakilan Tetap Venezuela ke PBB) supaya menyiapkan aduan berhubung perkara itu,” katanya dalam bahasa Sepanyol.

Terjemahan ke dalam bahasa Inggeris disediakan untuk Bernama oleh Kedutaan Venezuela di Malaysia.

Kerajaan Venezuela, dalam satu kenyataan pada Isnin berkata Angkatan Bersenjata Kebangsaan Bolivia (FANB) menggagalkan usaha kumpulan askar upahan untuk mendarat di pantai La Guaira, didakwa bertujuan melancarkan serangan ke atas pihak berkuasa Venezuela.

Beberapa askar upahan terbunuh dalam percubaan itu, sementara yang lain ditahan dan sejumlah besar senjata, kenderaan serta kelengkapan perang dirampas.

Kejadian itu seterusnya mencetuskan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Venezuela. Caracas menuduh AS terlibat, dua rakyat AS turut ditahan.

Pada Selasa, Presiden Donald Trump, mengatakan AS tidak mempunyai kaitan dengan kes itu.

“Jika kongres AS dan media serius, profesional serta menjalankan siasatan dengan bebas mereka akan temui kebenarannya,” kata Maduro.

AS yang mengiktiraf Juan Guaidó sebagai presiden Venezuela yang sah, juga telah melakukan tindakan sepihak untuk menekan negara ini dalam aspek ekonomi dan diplomatik.

Kerajaan Venezuela juga menuduh pembabitan Colombia tetapi dinafikan Bogotá.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )