PM Muhyiddin beredar selepas lebih dua jam di Istana Abdulaziz

KUANTAN,. Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat meninggalkan Istana Abdulaziz di sini pada 7.10 malam tadi, selepas berada di situ selama lebih dua jam.

Terdahulu, beliau yang dipercayai hadir bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiba di perkarangan istana pada 4.40 petang tadi.

Turut serta ialah Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.

Juga kelihatan beberapa buah kenderaan rasmi milik kerajaan negeri Pahang, namun tidak dapat dipastikan siapa yang menaiki kenderaan terbabit.

Difahamkan konvoi kenderaan yang membawa Perdana Menteri akan terus ke Pangkalan Tentera Udara Kuantan di sini untuk menaiki pesawat pulang ke ibu kota.

Pada pagi tadi, Muhyiddin dilapor mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Turut dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra pagi tadi ialah kenderaan yang membawa Affendi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )