PN bersedia muktamad agihan kerusi PRU-15

PN bersedia muktamad agihan kerusi PRU-15

KUALA LUMPUR,. PAS yakin parti yang membentuk Perikatan Nasional (PN) bersedia memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS juga yakin semua parti bersedia untuk memacu tenaga dan jentera bagi melengkapkan persiapan dan kesiapsiagaan barisan bersama.

“PAS menegaskan bahawa kerjasama politik terutamanya bersama Barisan Nasional (BN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semakin mantap, sekali gus berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kerajaan PN yang menjadi kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Takiyuddin berkata, tanpa menghiraukan segala spekulasi pembangkang yang hanya perang psikologi semata-mata, PAS akan terus sama-sama komited mendukung dan mempertahankan kedudukan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan Kabinetnya yang terdiri daripada semua wakil parti.

“Adalah suatu fakta yang jelas bahawa kerjasama politik antara PAS dengan BN, khususnya UMNO, telah dimuktamadkan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman pada 14 September 2019, sekali gus membentuk Muafakat Nasional (MN).

“Manakala kerjasama sehingga terbentuknya kerajaan Persekutuan ekoran kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 29 Februari 2020, diikuti pemeteraian memorandum persefahaman oleh Pengerusi dan Presiden BN, BERSATU, PAS dan parti dari Sabah dan Sarawak secara rasminya telah membentuk PN,” katanya.

Beliau menegaskan PAS juga yakin kerjasama dan sikap bertoleransi semua anggota PN kini akan menguatkan lagi kedudukan kerajaan PN sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri sehingga ke akhir penggal

–BH ONLINE

CATEGORIES
TAGS
Share This