PNB sasar pendedahan global lebih luas manfaatkan pasaran lemah

PNB sasar pendedahan global lebih luas manfaatkan pasaran lemah

KUALA LUMPUR,. Pengurus dana terbesar Malaysia, Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus mempelbagaikan portfolio asetnya dalam pasaran luar negara, berdasarkan kemerosotan pasaran kewangan yang sukar berikutan pandemik COVID-19 sebagai peluang yang baik untuk mengumpul saham dengan kualiti yang baik.

Pengerusi Kumpulan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata sebagai pelabur jangka panjang, PNB memberi tumpuan kepada asas; mengelak kesesakan pasaran selain mengenal pasti perubahan besar dalam pasaran kewangan.

“Pasaran lemah, hakikatnya merupakan peluang kepada kami untuk mengumpul saham yang berkualiti baik pada penilaian rendah, dan nilai tunai semasa kami — sebanyak 13.4 peratus daripada jumlah aset kami — menempatkan kami dalam kedudukan yang baik untuk mengambil peluang daripada pasaran dengan harga saham di bawah nilai sebenar ini,” katanya.

Bercakap pada taklimat media maya mengenai Laporan Tahunan 2019 dan Pelan Strategik bagi 2020-2022 PNB di sini hari ini, Zeti berkata PNB telah menggariskan langkah ke hadapannya dalam Fokus 4 — pelan strategik yang bertujuan memastikan syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk melalui tempoh sukar ini.

Lebih penting, Fokus 4 bertujuan memastikan PNB berada dalam keadaan bersedia, dengan keupayaan yang dipertingkatkan untuk memanfaatkan pemulihan apabila ia berlaku, katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Jalil Rasheed berkata pendekatan untuk tempoh tiga tahun itu akan memberi fleksibiliti kepada PNB untuk lebih responsif dan cepat bagi memanfaatkan peluang dalam persekitaran yang pantas sekarang.

Beliau berkata dengan Fokus 4, PNB akan terus mempercepatkan kepelbagaian portfolionya melalui pelaburan dalam kelas aset baharu dan geografi, termasuk peluang hartanah global dengan hasil yang menarik.

PNB turut merancang untuk meningkatkan pendedahan globalnya kepada 30 peratus menjelang 2022 daripada 8.5 peratus sehingga akhir 2019, katanya, sambil menambah PNB akan mempelbagaikan secara strategik pelaburannya dalam spektrum aset global, selain meningkatkan kecekapan modal dan membentuk proses pelaburan yang lebih rancak.

“Kami telah mencatat kemajuan yang ketara dalam mempelbagaikan portfolio kami pada tahun lepas dan kami akan terus membina momentum ini. Matlamatnya mengoptimumkan pulangan yang disesuaikan dengan risiko secara keseluruhan dalam persekitaran hasil rendah yang berterusan.

“Bukan hanya kami akan mempelbagaikan kelas aset, tetapi juga sub-kelas di bawahnya untuk meraih sektor dan geografi tertentu,” katanya.

Jalil berkata PNB melihat kepada ekuiti swasta membeli-belah dalam talian — terutamanya di Asia — sebagai pelaburan yang berpotensi, berikutan pengurus dana itu menyasarkan untuk mempelbagaikan asetnya jauh dari pasaran maju.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi 2019, Zeti berkata walaupun ekonomi global tidak menentu dan mencabar, PNB mencatatkan prestasi kewangan yang berdaya tahan, mencatat kemajuan yang baik dalam usaha kepelbagaian portfolionya dan pengurusan mudah tunai, selain meningkatkan pengalaman pemegang unit.

Beliau berkata PNB dapat mengekalkan pertumbuhan Aset di Bawah Pengurusannya, yang melebihi paras RM300 bilion untuk mencecah RM312.0 bilion, dengan unit dalam edaran naik sebanyak 7.3 peratus untuk mencecah hampir 254 bilion pada 2019.

PNB turut mengeluarkan sejumlah RM13.2 bilion pengagihan pendapatan dan bonus kepada pemegang unitnya pada 2019, menjadikan jumlah terkumpul pengagihan pendapatan kepada RM200 bilion untuk semua 14 dana sejak penubuhannya.

“Ini banyak didorong oleh pendekatan pelaburan berhemat PNB, sejajar dengan kepelbagaian kepada kelas aset baharu dan pasaran kewangan global baru-baru ini,” katanya.

Mengenai masa depan, Zeti berkata 2020 akan menjadi tahun yang amat mencabar untuk syarikat di seluruh dunia, termasuk PNB, berikutan kebanyakan negara tidak dapat bertahan dengan impak ekonomi daripada pandemik COVID-19.

Beliau berkata pasaran kewangan yang tidak menentu dijangka berterusan, dengan perniagaan amat terganggu, pendapatan terjejas, dan kadar pengangguran dijangka meningkat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat terdapat ruang kepada optimisme dalam persekitaran keadaan kewangan dan ekonomi yang suram.

“Walaupun kesukaran ekonomi untuk membendung penularan pandemik itu mungkin sengit dan luas, bagaimanapun ia hanya sementara.

“Aktiviti ekonomi dapat digerakkan semula selepas penangguhannya ditamatkan. Dalam masa terdekat, kemelesetan mungkin dirasai sebelum berlaku pemulihan. Oleh itu, kita perlu melihat melebihi jangka masa terdekat,” katanya.

Ditanya sama ada PNB akan mencatat prestasi yang lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas, Zeti berkata terdapat beberapa faktor yang akan menentukan prestasi syarikat; iaitu, dunia tidak akan mengalami gelombang kedua COVID-19 dan perbelanjaan pengguna yang berterusan.

Beliau juga berkata keberkesanan dalam pelaksanaan dasar oleh negara, terutamanya yang berkaitan perusahaan kecil dan sederhana, serta peningkatan kadar pengangguran juga merupakan faktor yang akan memberi kesan kepada prospeknya.

Zeti berkata prestasi PNB akan turut bergantung kepada kepelbagaian portfolionya dan menguruskan risiko supaya ia peka dengan perkembangan, serta prestasi syarikat yang dilaburnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This