
Pogba, Rashford Jadi Taruhan Solskjaer
LONDON,. Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berkata dia yakin Paul Pogba dan Marcus Rashford cukup cergas apabila Liga Perdana Inggeris disambung semula bulan depan.
Pogba terlepas sebahagian besar kempen kali ini akibat kecederaan buku lali, manakala Rashford hampir terpaksa melupakan baki saingan apabila mengalami keretakan di bahagian belakang pada Januari.
United kembali berlatih dalam kumpulan kecil minggu lalu dan persiapan akan ditingkatkan apabila kelab-kelab Liga Perdana bersetuju untuk latihan bersentuhan bermula esok.
“Diharap sekarang kami sudah membuktikan yang kami mampu melakukannya dengan selamat dan boleh mara ke peringkat seterusnya.
“Cukup menggembirakan dapat kembali ke lapangan latihan semula. Mereka (Pogba dan Rashford) kelihatan bagus, mereka sudah menyertai latihan dan melakukan perkara seperti pemain lain.
“Apabila liga disambung semula, tampak seperti kami akan mempunyai skuad penuh,” kata Solskjaer.
United kini ketinggalan tiga mata di belakang kelompok empat terakhir Liga Perdana dan kepulangan dua tonggak itu cukup penting dalam misi memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.
United juga memburu kejuaraan Piala FA dan Liga Europa musim ini yang disasarkan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) untuk dihabiskan menjelang Ogos.
Bagaimanapun Solskjaer mungkin terpaksa melupakan penyerang Odion Ighalo yang perlu kembali ke kelabnya Shanghai Shenhua selepas tempoh pinjaman pemain itu tamat bulan ini.
United masih dalam perbincangan dengan kelab China itu untuk melanjutkan tempoh pinjaman Ighalo, yang meledak empat gol dalam tiga aksi sebagai kesebelasan utama, dan lapan penampilan keseluruhan untuk United. – AFP