Polis Pantau Individu Dikuarantin Tidak Keluar Beraya

KOTA KINABALU,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau kumpulan individu diarahkan menjalani proses kuarantin di rumah masing-masing untuk memastikan mereka tidak keluar dari kediaman terbabit.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, untuk tujuan itu, PDRM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewujudkan pasukan untuk melakukan pemeriksaan rumah ke rumah sepanjang Aidilfitri ini.

Beliau berkata, selain pemantauan individu dikuarantin, pasukan berkenaan akan memastikan tiada rumah mempunyai bilangan individu melebihi jumlah dibenarkan selaras dengan keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pasukan ini akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada rumah mempunyai ramai individu dalam satu-satu masa.

“Semua pihak harus ingat, perayaan kita tahun ini berbeza dengan tahun lepas. Jumlah pengunjung tidak melebihi 20 orang dan mereka yang dibenarkan hanyalah waris terdekat saja,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Bas Ekspres di Jalan Kampung Rampaian Laut, Kota Kinabalu, malam tadi.

Zaini berkata, kerajaan sudah menetapkan, ziarah hanya dibenarkan pada hari raya pertama saja disebabkan negara masih berada dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, selain itu, PDRM akan memantau sektor pengangkutan bagi memastikan pengangkutan awam menuruti arahan untuk hanya menerima 50 peratus muatan penumpang.

“Selain memastikan keselamatan jalan raya, polis turut memantau supaya langkah keselamatan seperti penjarakan sosial dan kebersihan serta amalan sanitasi sentiasa diamalkan.

“Bagi tujuan ini, polis mengerahkan seramai 4,469 pegawai dan anggota untuk memantau rumah serta pengangkutan awam di negeri ini.

“PDRM dibantu pelbagai agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa agensi lagi,” katanya.

Sementara itu, Zaini turut menegaskan semua pasukan dalam PDRM turut dikerah menjalankan pemantauan sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, sebagai contoh, Pasukan Polis Marin (PPM) turut dikerah supaya memastikan Op Benteng di perairan negara berjalan dengan lancar.

“Ini bagi mengawal dan mengesan kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini yang dikhuatiri boleh membawa masuk wabak Covid-19 ke negara ini.

“Selain itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) turut sudah dikerahkan ke kawasan sempadan bagi memantau kemasukan Pati menerusi jalan darat.

“Ia bukan saja boleh memantau kemasukan Pati tetapi mengawal kegiatan penyeludupan,” katanya. – Harian Metro

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )