Polis patah kaki dirempuh van dipandu lelaki suspek dadah

Polis patah kaki dirempuh van dipandu lelaki suspek dadah

SEREMBAN,. Seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) patah kaki kiri selepas dirempuh sebuah van dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis dalam kejadian di Taman Cengal Utama, Paroi, di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata kejadian berlaku ketika anggota lelaki berusia 37 tahun itu mengekori suspek yang memandu dalam keadaan mencurigakan dan tidak berhenti selepas diarahkan kira-kira 12.40 tengah malam.

“Ketika kejadian, anggota URB itu sedang membantu unit kereta peronda polis (MPV) mengejar suspek berumur 37 tahun itu sebelum lelaki terbabit membuat pusingan U dan melanggar anggota berkenaan.

“Suspek yang memandu van jenis Nissan Vanette cuba membuat pusingan U sekali lagi dan melanggar kereta MPV sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sejurus itu, Mohd Said berkata kenderaan suspek kemudiannya hilang kawalan sehingga melanggar tiang elektrik dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menjumpai sebatang kayu berukuran kira-kira 120 sentimeter (cm) yang dipasang dengan sebilah sabit berukuran 37cm selain cukai jalan dan nombor pendaftaran yang digunakan adalah palsu.

Selain itu, beliau berkata terdapat beg silang warna hitam mengandungi sebotol kaca yang diubah suai sebagai alat untuk menghisap dadah dan dua tiub straw berwarna putih berjalur biru mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 0.75 gram pada suspek.

“Siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan mempunyai beberapa rekod lampau termasuk membabitkan dadah,” katanya.

Suspek kemudian direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 108 (3)(f) APJ 1987 serta Seksyen 12 (2)/(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952, katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This