Polis rampas 19,750 karton rokok seludup

KUALA LUMPUR,. Sejumlah 19,750 karton rokok seludup pelbagai jenama dirampas polis selepas empat lelaki ditahan sekitar Cheras dan Rawang, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek yang ditahan dipercayai aktif menjalankan aktiviti haram itu di seluruh negara.

Beliau berkata mereka yang ditahan berusia antara 41 hingga 57 tahun dan polis turut menyita dua lori, dua kereta dan wang tunai RM50,000 bagi membantu siasatan.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3,475,148,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acryl Sani berkata siasatan mendapati seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

“Tiga daripada empat lelaki itu direman lima hari sehingga Isnin depan manakala seorang lagi direman 14 hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah serta Seksyen 135(1)(D) dan (E) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Sematan Lundu, Sarawak pada hari sama, Acryl Sani berkata pihaknya turut merampas seekor ayam hutan dan 20 burung pelbagai spesies yang dilindungi.

“Kami menahan seorang lelaki yang juga pemilik rumah itu dan merampas kesemua spesies hidupan liar itu dengan anggaran nilai keseluruhan ditaksirkan berjumlah RM15,000 menerusi Op Bersepadu Khazanah.

“Suspek dan hidupan liar itu diserahkan kepada Sarawak Forestry Corporation (SFC) untuk disiasat mengikut Seksyen 29(1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )