Polis rampas lebih 2kg syabu, tahan penganggur

Polis rampas lebih 2kg syabu, tahan penganggur

TAWAU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas lebih dua kilogram (kg) dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM120,000 yang disembunyikan dalam sebuah kereta di Taman Megah Jaya 10, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, polis turut menahan seorang penganggur lelaki tempatan berumur 30 tahun dipercayai terbabit dalam pengedaran bahan terlarang tersebut.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, suspek cuba melarikan diri dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Tiku yang dilakukan oleh sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, polis bertindak mengejar kereta suspek selama kira-kira lima minit, sebelum berjaya ditahan di simpang Taman Megah Jaya 10. “Hasil siasatan menemukan dua beg plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 2010.39 gram yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.

“Semua syabu yang dianggarkan bernilai RM120,000 itu dirampas dan suspek terbabit dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini. Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati semua dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran di daerah ini dan sekitarnya.

“Kita masih menjalankan siasatan samada suspek adalah ketua sindiket ataupun keldai dadah yang diupah untuk menghantar barang tersebut. “Hasil ujian saringan air kencing suspek didapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Jasmin berkata, dadah yang dirampas itu, dianggarkan boleh digunakan seramai 15,000 orang penagih di daerah ini. “Suspek telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga 10 Oktober depan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )