
Polis Sarawak tumpaskan sindiket judi kaut untung RM150,000 sebulan
KUCHING,. Polis Sarawak berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian haram dalam talian dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM150,000 sebulan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dennis Leong berkata ini berikutan tertangkapnya 12 individu dalam satu serbuan ke atas sebuah kediaman di Jalan Batu Kawa di sini yang dijadikan sebagai pusat panggilan.
“Mereka yang ditangkap dalam serbuan kira-kira 7.30 malam tadi itu berusia 18 hingga 28 tahun, terdiri daripada enam wanita warga asing, lima lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, pasukan serbuan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kontinjen Sarawak itu turut merampas 11 unit komputer riba di pusat berkenaan yang didapati telah beroperasi lebih kurang lima bulan dan mengaut pendapatan bulanan antara RM100,000 hingga RM150,000.
Dalam usaha membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini, beliau berkata sebanyak 676 premis yang terlibat dalam aktiviti judi telah dipotong bekalan elektrik dalam operasi bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) antara 1 Jan hingga 17 Okt tahun ini.
— BERNAMA