Polis siasat hantaran Facebook kaitkan KBS dengan gerakan Kristian

Polis siasat hantaran Facebook kaitkan KBS dengan gerakan Kristian

KUALA LUMPUR,. Polis mengesahkan menerima laporan polis dan sedang menjalankan siasatan berhubung satu hantaran Facebook Che’Gubard Original yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan gerakan Kristian Evangelist.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai, berkata siasatan turut dijalankan kerana hantaran itu menuduh kementerian berkenaan menyalurkan dana kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengajak belia bukan Kristian melawat gereja.

Beliau berkata semakan pihak polis mendapati hantaran berkenaan telah menerima 544 komen, 377 perkongsian dan 448 respons sejak dimuat naik tiga hari lepas.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (kerana fitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengulas isu tersebut secara provokasi yang mungkin boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam melalui isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” katanya.

Beberapa hari lalu, Pengerusi (Penaja) Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Che’gubard menerusi hantaran di Facebooknya, telah mendakwa terdapat sebuah NGO dengan dana daripada KBS sedang mencari belia bukan Kristian untuk dibawa melawat gereja.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This