Polis tahan 10 individu, rampas dadah bernilai lebih RM1 juta

Polis tahan 10 individu, rampas dadah bernilai lebih RM1 juta

JOHOR BAHRU,. Polis merampas 25.2 kilogram dadah disyaki heroin dan 14 kilogram disyaki serbuk ekstasi bernilai lebih RM1 juta dalam satu operasi khas membabitkan tujuh serbuan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata operasi bermula pada 1.45 tengah hari hingga 11 malam itu turut menahan 10 individu tempatan dipercayai terlibat dalam sindiket memproses dan mengedar dadah.

Beliau berkata sindiket itu menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat berpagar dan berpengawal di Iskandar Puteri sebagai stor penyimpanan serta makmal memproses barangan larangan itu.

“Dalam serbuan pertama di rumah teres dua tingkat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan merampas sejumlah dadah serta peralatan memproses dadah. Semakan turut mendapati lelaki tersebut mempunyai lapan rekod jenayah dan dadah,” katanya di sini hari ini.

Ayob Khan berkata susulan itu, polis melakukan enam lagi serbuan di sekitar bandar raya ini dan Iskandar Puteri lalu menahan tujuh lelaki serta dua wanita berusia 20 hingga 34 tahun.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif terhadap dadah namun lima daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Ayob Khan, selain dadah pihaknya turut merampas precursor, peralatan dan mesin memproses dadah selain menyita empat kereta pelbagai jenis bernilai RM185,000 dan tiga unit barang kemas pelbagai jenis bernilai RM9,000 dengan keseluruhan sitaan harta benda bernilai RM194,000.

Katanya, 25.2 kilogram heroin bernilai RM336,000 dan 14 kilogram serbuk ekastasi bernilai RM700,000 yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 172,666 orang penagih.

Ayob Khan berkata risikan mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas dengan dadah terbabit dipercayai untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Dengan peralatan-peralatan yang kita rampas ini, kita percaya ‘makmal’ mereka ini masih di peringkat awal. Dalang belum ditangkap, ada empat individu yang kita kenal pasti dan akan ada tangkapan susulan,” katanya.

Beliau berkata seorang daripada 10 individu itu kini direman tujuh hari bermula semalam bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan yang lain akan dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This