Polis tahan 12 individu, rampas dadah bernilai RM882,000

Polis tahan 12 individu, rampas dadah bernilai RM882,000

GEORGE TOWN,. Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laluan laut selepas menahan 12 individu termasuk seorang warga Thailand dan merampas syabu serta ganja bernilai RM822,000 dalam sembilan serbuan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak pada Selasa serta Rabu lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata bertindak hasil maklumat dan risikan dijalankan, pihaknya dengan kerjasama JSJN Pulau Pinang dan JSJN Perak telah melancarkan sembilan serbuan sebelum menahan 11 lelaki bersama seorang wanita berusia 22 hingga 46 tahun.

“Dalam serbuan pertama, polis telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire di kawasan Bagan Nyiur, Juru dekat sini dan menahan seorang lelaki warga Thailand yang memandu kenderaan itu pada jam 9.15 malam Selasa. Kami merampas 15 bungkus plastik hitam yang berisi 313 ketulan mampat ganja.

“Ganja seberat 308,946 gram(g) bernilai RM772,500 itu dipercayai baru diambil daripada rangkaian sindiket tersebut oleh lelaki Thailand berkenaan yang dibawa masuk melalui laut dan suspek berkenaan yang merupakan pemilik sebuah restoran tomyam di sini (Pulau Pinang) tinggal di negara ini sejak lima tahun lepas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taiping, Perak pada 9.45 malam Selasa dan menahan seorang lelaki serta wanita dan merampas 495g syabu bernilai RM49,500 di situ.

Zainudin berkata ekoran serbuan itu polis melakukan tujuh lagi serbuan di Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini dan Kupang di Kedah sebelum menahan sembilan lagi ahli sindiket rangkaian pengedaran dadah berkenaan yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut dengan pasaran mereka di sekitar negeri utara serta Lembah Klang.

“Namun kegiatan sindiket itu yang mempunyai rangkaian pengedaran antarabangsa yang membawa masuk dadah menerusi jalan laut dengan menggunakan bot fiber atau nelayan dipercayai dari Satun,Thailand ke negeri ini atau Kedah, berjaya dihidu pihak polis sebelum pihaknya menjalankan operasi serta serbuan khas tersebut.

“Semasa serbuan di sebuah rumah di SPT, seorang daripada lelaki yang ditahan iaitu berusia 40-an telah mengalami serangan jantung dan dia dihantar ke sebuah hospital di Bukit Mertajam sebelum meninggal dunia sejam selepas menerima rawatan di situ.Suspek yang tidak bekerja itu merupakan antara orang penting dalam sindiket tersebut,” katanya.

Beliau berkata, ketua sindiket itu yang merupakan lelaki tempatan berusia 40-an juga ditahan dalam siri serbuan itu dan lapan daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah serta dadah malah enam daripada yang ditahan itu turut positif dadah.

“Siasatan kami juga mendapati ketika ini di Thailand adalah musim menuai padi dan sindiket pengedaran dadah di sana dipercayai mengambil peluang memproses dadah sebelum menyeludup keluar bersama beras yang telah siap diproses bagi mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan semua mereka, polis menyita 15 kenderaan mewah antaranya Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW, Nissan dan Honda yang kesemua bernilai RM1.5 juta serta wang tunai RM65,090 dan sebentuk cincin emas.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This