
Polis tahan 5 individu, tumpas geng curi kenderaan
KEPALA BATAS,. Sepasang kekasih yang mempunyai keseluruhan 30 rekod jenayah dan dadah antara lima yang ditahan polis dalam serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) pada Isnin lepas, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan curi kenderaan.
Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata susulan tangkapan itu, pihaknya percaya telah menumpaskan sindiket curi kenderaan dikenali Geng Kokak 2020 didalangi pasangan berkenaan.
Tangkapan pertama melibatkan seorang wanita berusia 25 tahun pada 4.50 pagi hari berkenaan yang sebelum itu dikesan memandu Proton Perdana dalam keadaan mencurigakan di kawasan Permatang Pauh.
“Suspek tidak mematuhi arahan pasukan Unit Kenderaan Peronda (MPV) agar memberhentikan kenderaan, sebaliknya memecut laju kereta ke arah Perda, Bukit Mertajam memaksa MPV mengejar.
“Ketika sedang mengejar kereta itu, sebuah van dipandu seorang lelaki telah menghampiri kenderaan MPV dan cuba menghalang polis daripada mengejar (kereta) sebelum anggota meminta bantuan MPV lain bagi membantu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya van tersebut bertindak memecut meninggalkan kawasan itu selepas melihat kehadiran banyak MPV sementara Proton Perdana berkenaan terbabas kira-kira 2.5 kilometer dari situ.
Beliau berkata siasatan awal ke atas suspek mendapati Proton Perdana itu baru sahaja dicuri oleh wanita berkenaan di kawasan Bukit Tengah sementara van yang cuba menghalang polis dipandu oleh teman lelaki wanita tersebut yang juga rakan sejenayah.
Susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah pangsa di Ampang Jajar dekat sini sebelum menahan teman lelakinya yang berusia 30 tahun dan seterusnya menahan tiga lagi lelaki di dalam sebuah van di kawasan tersebut.
Katanya siasatan mendapati teman lelaki wanita itu baru dibebaskan dari penjara pada Julai lalu dan dia bersama teman wanitanya yang masih dalam perbicaraan dua kes curi kenderaan kembali bergiat aktif mencuri kenderaan di sekitar Seberang Perai dan di Kulim, Kedah.
“Pasangan lelaki dan wanita tersebut masing-masing mempunyai 22 dan lapan rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah,” katanya, menambah modus operandi kumpulan ialah mencuri kenderaan lama sebelum membuka komponen untuk dijual sebagai alat ganti kepada tiga lagi suspek berusia 23 hingga 28 tahun.
Menurutnya lelaki dan wanita terbabit hanya mengambil masa lima minit untuk mencuri sebuah kereta dan tangkapan berkenaan dipercayai menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi kenderaan di SPU selain banyak kes serupa di daerah lain di Pulau Pinang dan Kedah.
“Tiga lelaki yang ditahan itu juga mempunya enam hingga 11 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.Semua lima suspek positif dadah dan mereka kini direman hingga 12 Sept ini untuk siasatan lanjut, menurut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA