
Polis tahan tiga lelaki, bongkar dua rumah dijadikan stor, proses ketum
IPOH,. Polis menyerbu dua buah rumah yang dijadikan stor dan tempat pemprosesan air ketum di kawasan Pasir Puteh, di sini serta menahan tiga lelaki termasuk seorang lelaki yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan daun ketum dengan kes terbaharu pada Februari lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A. Asmadi Abdul berkata lelaki itu yang dikenali sebagai ‘Khairul Anuar’ ditahan susulan tangkapan dua lelaki dalam serbuan ke atas sebuah rumah di kawasan tersebut Rabu lepas.
“Dalam serbuan 4.30 petang itu, dua lelaki tersebut, masing-masing berusia 23 dan 33 tahun, diberkas ketika leka merebus dan membungkus air ketum. Pemeriksaan ke atas rumah menemukan 500 bungkusan air ketum serta 78 kilogram daum ketum.
“Susulan maklumat daripada tangkapan itu, kami menahan seorang lelaki berusia 49 tahun yang tinggal bersebelahan premis pertama, pada hari sama,” katanya pada sidang media, di sini semalam.
Menurutnya kegiatan memproses dan menjual air ketum yang didalangi oleh Khairul Anuar itu dipercayai aktif sejak tiga tahun lepas dan siasatan mendapati kali terakhir suspek didakwa di mahkamah atas kesalahan membabitkan ketum ialah pada 25 Feb lepas.
Kesemua suspek ditahan reman bermula kelmarin hingga Ahad ini mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. Dalam satu lagi kes, A. Asmadi berkata polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan dipandu seorang lelaki yang membawa 28 beg plastik hitam dipercayai berisi daun ketum di Km280.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, bersebelahan Plaza Tol Jelapang, di sini pada Isnin lepas.
Katanya dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi itu, suspek pada mulanya memberhentikan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandunya di tepi jalan di Km182 Lebuhraya Kamunting sebelum memecut apabila dihampiri oleh kereta peronda polis.
“Namun, kenderaan suspek terbabas dan melanggar pembahagi jalan di laluan Plaza Tol Jelapang. Suspek kemudian keluar dari kenderaan tersebut dan menaiki sebuah kereta Myvi berwarna putih yang mengekori sebelum itu dan memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menafikan dakwaan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) JSJ, DCP Mior Faridalathrash Wahid adalah bapa saudara kepada Pengerusi PKR, Farhash Wafa Salvavador.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata semua dakwaan yang tular di media sosial itu adalah tidak berasas.
Beliau berkata laporan itu menyatakan semua kes yang melibatkan Farhash dilepaskan begitu sahaja disebabkan wujud konflik kepentingan.
“Kes terbaharu melibatkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Aidil Azim Abu Adam di mana laporan tersebut mendakwa DCP Mior Fardalathrash merupakan pegawai penyiasat.
— Bernama