Polis tumpas seludup dadah dalam alat permainan

Polis tumpas seludup dadah dalam alat permainan

PETALING JAYA,. Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah melalui perkhidmatan kurier dalam beberapa serbuan di sini, Cheras dan Kuala Lumpur pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, serbuan dan penahanan tiga lelaki terbabit berikutan laporan daripada seorang pekerja syarikat kurier berhubung empat kotak bungkusan yang mencurigakan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 1,211.35 gram (g); syabu (0.42 g); dan eks-tasi (0.56 g) yang dianggar bernilai RM42,455.

Polis turut merampas dua kereta iaitu Mazda dan Nissan GTR, wang tunai RM162,500, pelbagai mata wang asing dan tujuh utas jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM1.14 juta, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka mengambil upah untuk mengedar dadah menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikannya di dalam alat permainan kepada pelanggan dari luar negara,” katanya sambil memberitahu kumpulan itu aktif sejak sebulan lepas dan menerima upah RM1,000 bagi setiap bungkusan yang dihantar.

Mohamad Fakhrudin berkata, seorang daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah dan kesemua mereka kini direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Mohamad Fakhrudin berkata, polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan di sekitar Petaling Jaya apabila menahan lima lelaki berumur 22 hingga 36 tahun pada Khamis lepas.

Beliau berkata, dua lelaki ditahan dalam serbuan di Desa Mentari pada jam 12 tengah hari ketika mereka sedang meleraikan komponen kereta yang dipercayai dicuri manakala tiga lagi termasuk dua warga asing ditahan di sebuah premis barangan lusuh di kawasan yang sama.

“Polis menemukan pelbagai jenis rangka kereta, tujuh enjin kereta dan alat meleraikan komponen kereta. Kami percaya berjaya menyelesaikaan empat kes curi kereta yang dilaporkan di sini dan beberapa kawasan di sekitar Selangor,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This