Polisi As ke atas Iran tidak mungkin berubah selepas pilihan raya November, kata Pompeo

Polisi As ke atas Iran tidak mungkin berubah selepas pilihan raya November, kata Pompeo

WASHINGTON, 22 Sept — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata beliau berharap Washington akan meneruskan dasarnya ke atas Iran tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya presiden pada November, lapor agensi berita Sputnik.

“… terdapat sokongan daripada kedua-dua parti terhadap apa yang telah dilaksanakan pentadbiran Trump. Sebenarnya, mungkin sudah lima atau enam minggu saya menerima surat daripada ratusan ahli Kongres dari seluruh bahagian politik di Amerika, semuanya menuntut AS supaya bertindak menghalang Iran daripada mempunyai keupayaan untuk membeli dan menjual senjata.

“Kita telahpun melakukannya. Oleh itu, saya berasakan mendapat sokongan yang besar daripada kedua-dua parti,” kata Pompeo dalam satu temu bual dengan The Media Line yang dikeluarkan oleh Jabatan Kenegaraan AS pada Isnin.

Pompeo mendakwa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) seperti Perancis, Jerman dan United Kingdom berpuas hati dengan dasar AS mengenai Iran walaupun mereka tidak mahu mengakuinya secara terbuka.

“Saya berharap jika Presiden – jika Presiden Trump tidak dipilih semula, pasukan yang berada di bawah Naib Presiden Biden akan memahami ancaman dengan cara yang sama seperti yang kita lakukan dan akan terus memastikan Amerika dan Israel selamat,” kata Pompeo.

Bercakap kepada penyokongnya di Dayton, Ohio pada Isnin, Presiden Donald Trump berkata AS mahu Iran menjadi negara yang kuat tetapi tidak mahu ia memiliki senjata nuklear.

“Jika dan bila kita menang, kita akan menerima panggilan dalam masa sekitar 9 saat sebaik sahaja menang dan ia adalah panggilan dari Iran, ia akan membuat perjanjian, kita mahu mereka membuat perjanjian, kita mahu mereka bersikap baik, kita mahu mereka kuat, tetapi mereka tidak boleh memiliki senjata nuklear, itu sahaja,” kata Trump.

Pada Isnin, Trump menandatangani satu perintah eksekutif yang membenarkan penalti ekonomi yang berat ke atas negara luar, syarikat dan individu yang melanggar sekatan senjata PBB kepada Tehran. Pada Isnin, pentadbiran Trump turut mengumumkan sekatan baharu dan langkah-langkah kawalan eksport ke atas 27 entiti dan individu yang mempunyai hubungan dengan “rangkaian penyebaran Iran,” dalam kalangan saintis nuklear dan cawangan logistik ketenteraan Iran.

Washington berkata ia akan mengembalikan penguatkuasaan sekatan antarabangsa anti-Iran, walaupun tidak mendapat sokongan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Sekatan senjata konvensional antarabangsa dijangka berakhir bulan depan setelah UNSC menolak cadangan AS untuk memanjangkannya. AS kini menganggapnya tiada had setelah ia memulakan mekanisme sekatan balik perjanjian nuklear Iran. Anggota majlis utama lain, termasuk Rusia dan negara-negara Eropah, menolak langkah itu, dengan mendakwa Amerika kehilangan hak undang-undang untuknya setelah mereka meninggalkan perjanjian JCPOA dengan Iran pada 2018.

Pompeo pada Sabtu berkata AS akan meneruskan “kempen tekanan maksimum” terhadap Iran sehingga kesepakatan menyeluruh dicapai.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This