Pompeo dikritik hebat kerana tahan bantuan untuk negara di Amerika Tengah
WASHINGTON,. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dikritik hebat pada Jumaat oleh penggubal undang-undang negara itu kerana bertindak menahan bantuan yang diperlukan wanita dan kanak-kanak di negara-negara Amerika Tengah, lapor agensi berita China Xinhua.
“Kami percaya keputusan tidak produktif pentadbiran Trump untuk menghentikan bantuan AS kepada El Salvador, Guatemala dan Honduras telah merosakkan kedudukan kita di America,” kata dua anggota parlimen Demokrat dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan dalam sepucuk surat kepada Pompeo.
Pengerusi jawatankuasa itu Eliot Engel dan anggotanya, Albio Sires, menggesa Pompeo agar memberi lampu hijau kepada bantuan sebanyak US$48 juta bagi tahun fiskal 2017 dan US$527.6 juta bagi tahun fiskal 2019.
Engel dan Sires berkata mereka “begitu kecewa” dengan tindakan menahan bantuan itu, yang menjejaskan dana penting bagi membantu kanak-kanak dan keluarga di negara-negara Amerika Tengah.
Surat itu turut mengketengahkan ketidaktelusan dalam proses membuat keputusan untuk meluluskan bantuan tersebut.
El Salvador, Guatemala dan Honduras, kumpulan negara yang dikenali sebagai “Segi tiga Utara,” telah dinafikan bantuan AS pada awal tahun ini apabila pentadbiran Trump mendakwa mereka tidak mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengekang aliran imigran ke Amerika Syarikat.
Pentadbiran Trump pada Oktober berkata ia akan menyalurkan semula sebahagian bantuan AS kepada ketiga-tiga negara namun Engel berkata langkah itu sudah terlewat.
— BERNAMA