Portal baharu JPA dilancar, dibangun tanpa sebarang kos

Portal baharu JPA dilancar, dibangun tanpa sebarang kos

PUTRAJAYA,. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini melancarkan portal baharu yang dinaik taraf menerusi versi terkini 4.3.4 dengan mengadaptasi aspirasi MADANI, The G.R.E.A.T Civil Service dan H.E.M.A.T.

Dalam kenyataan hari ini, JPA memaklumkan portal baharu itu bukan sahaja mempunyai jaminan keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih kukuh dan mampan malah dibangunkan tanpa melibatkan sebarang kos.

“Portal baharu yang dinaik taraf dengan mengadaptasi aspirasi MADANI melalui Daya Cipta, The G.R.E.A.T Civil Service iaitu Tadbir Urus Terbaik dan H.E.M.A.T secara Minda Pekin dan Apresiasi Inovasi.

“Ia dibangunkan secara dalaman sepenuhnya oleh pegawai-pegawai teknologi maklumat, Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat (BDTM), JPA,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata konsep baharu portal JPA itu menawarkan paparan yang lebih padat dan ringkas (Less is More), reka bentuk yang lebih kemas dan tersusun (Clean and Simple), dan paparan yang berfokuskan konteks supaya lebih mudah untuk dilayari (White Space).

“Konsep ini merupakan suatu pendekatan yang pertama seumpamanya dilaksanakan oleh perkhidmatan kerajaan.

“Justeru, perkara ini seharusnya menjadi suatu penanda aras baharu kepada semua portal kementerian, jabatan, agensi yang lain agar dapat diselaraskan secara kolektif serta sentiasa dikemas kini bagi memenuhi pengharapan pelanggan dan bersesuaian dengan perubahan zaman,” katanya.

Dalam kenyataan sama sempena pelancaran portal itu, Wan Ahmad Dahlan berkata elemen utama dalam kreativiti dan inovasi ini ialah idea baharu yang menjurus kepada penambahbaikan dan memberikan nilai tambah baharu melalui penggabungan sumber-sumber sedia ada.

Beberapa inisiatif berasaskan idea inovasi telah dilaksanakan antaranya penggunaan sistem kad akses satu kali guna yang merakamkan waktu pergerakan keluar dan masuk pegawai secara ekstensif, serta sistem HRM baharu yang mengadaptasi teknologi digital seperti chatbot, kecerdasan buatan (AI) dan analitik data.

Sementara itu, JPA memaklumkan sebanyak 1,000 pengguna sehari secara purata telah direkodkan semasa melayari portal JPA untuk mengakses data terbuka kerajaan bagi perkhidmatan yang disediakan.

“JPA berharap agar dengan adanya pembangunan portal ini, ia dapat menyokong dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam yang menuju ke arah Kerajaan Digital dengan lebih efisien dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

JPA turut memaklumkan lapan produk juga dibangunkan secara dalaman oleh BDTM, JPA tanpa melibatkan sebarang kos antaranya Sistem Award GCR, Sistem Peperiksaan Perkhidmatan Awam (SPPA), Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN), Inventori Sistem Audit Nilai (iNSAN) dan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This