Portfolio khas untuk Sabah, Sarawak tepat pada masanya – Ongkili

PUTRAJAYA,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili, menyifatkan langkah kerajaan Persekutuan mewujudkan portfolio baharu dan khas untuk menjaga hal ehwal Sabah dan Sarawak, amat tepat pada masanya.

Beliau berkata pelantikannya yang mewakili masyarakat pribumi di Sabah dan Sarawak akan memperkukuhkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
“Ia juga akan membuka peluang mengetengahkan isu dan masalah rakyat di dua negeri itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia, di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati di sini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tidak menafikan tanggungjawab menerajui kementerian itu, adalah berat dan pelbagai isu perlu diselesaikan.
“Kami akan terus kerja kuat dan kami akan teliti kesinambungan kerja yang ditinggalkan (oleh menteri terdahulu) dan semak apa yang akan dilakukan selepas ini,” katanya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan pula berkata beliau memandang serius isu melibatkan golongan belia B40, yang tercicir daripada peluang pekerjaan selain akan berusaha mencari formula kepada masalah pengangguran di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan yang pertama kali dilantik sebagai menteri, ketika ditemui melahirkan tekad untuk berkerja keras dengan memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

“Sekarang masa untuk kami bekerja dalam satu pasukan yang dipimpin oleh Perdana Menteri. Jadi saya hendak tumpu kepada kerja sekarang,” katanya.

Bagi Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri pula, beliau optimis kementeriannya bersama agensi terlibat akan menemui formula untuk merangsang semula industri pelancongan negara yang terjejas akibat COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )