Prasarana tambah tempoh perbaharui Pas Mutiara Rapid Penang

Prasarana tambah tempoh perbaharui Pas Mutiara Rapid Penang

GEORGE TOWN, 4 Mei — Pengguna Pas Mutiara dibenarkan untuk menaiki bas Rapid Penang secara manual dengan menggunakan pas perjalanan tanpa had walaupun tidak diperbaharui sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Operasi Prasarana Malaysia Berhad, Muhammad Nizam Alias, bagaimanapun berkata kiosk informasi Rapid Penang kecuali di Ibu Pejabat Rapid Penang, Lorong Kulit mula dibuka semula bermula hari ini bagi membolehkan pengguna Pas Mutiara memperbaharui pas mereka.

“Sistem pengimbas kad di atas bas hanya akan dihidupkan bermula 15 Mei ini, iaitu tujuh hari selepas Fasa Kedua Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang. Kami percaya tempoh tambahan diberikan kepada pelanggan Pas Mutiara ini mencukupi untuk membolehkan mereka pergi ke kios-kios kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak berlaku kesesakan di kios informasi Rapid Penang, pengguna boleh memperbaharui pas mereka yang telah tamat tempoh itu bermula hari ini dan perkhidmatan itu juga akan diberi tempoh tambahan selama tujuh hari lagi selepas Fasa Kedua Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang.

“Sepanjang tempoh tersebut, pemegang Pas Mutiara dibenarkan menaiki bas secara manual. Pengimbas kad hanya akan diaktifkan bermula pada 15 Mei ini dan operasi secara automatik akan kembali seperti sebelum PKP.

“Kami berharap agar inisiatif prihatin ini akan memberi manfaat kepada pengguna untuk kembali menggunakan rangkaian perkhidmatan Rapid Penang,” katanya.

Muhammad Nizam berkata bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pembaharuan Pas Mutiara, pelanggan dinasihatkan supaya beratur dengan tertib serta mematuhi jarak sosial dan memakai pelitup separuh muka semasa berurusan di kios informasi Rapid Penang serta menjaga semua perkara tersebut apabila berada di dalam bas dan ketika berada di tempat awam.

Sebarang pertanyaan mengenai Pas Mutiara, pengguna boleh menghubungi Rapid Penang di talian 04-255 8000 atau melalui laman Facebook @rapidpgfans atau e-mel kepada [email protected]

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )