Presiden El Salvador gesa PBB ubah format perhimpunan

WASHINGTON,. PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU,. Presiden El Salvador Nayib Bukele pada Khamis menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengubah format perhimpunan tahunannya dan memanfaatkanpeluang Internet.

Sebelum memulakan ucapan sulungnya pada Perhimpunan Agung PBB, Presiden berusia 38 tahun itu mengeluarkan telefon bimbitnya dan berswafoto di depan orang ramai, lapor agensi berita Xinhua pada Jumaat.

“Berdiri di sini di depan anda yang menghadiri Perhimpunan Agung ke-74 adalah suatu keistimewaan dan penghormatan yang saya mahu kongsikan bersama dengan dunia,” katanya pada Sesi Perbahasan, mengulas pandangannya terhadap kuasa media sosial.

“Gambar berkenaan boleh dilihat dan dikongsikan di platfom media sosial, rangkaian di mana berbilion penduduk dunia dapat berhubung pada waktu sebenar dan berkongsi hampir apa saja mengenai kehidupan mereka.”

“Internet kini semakin dianggap sebagai dunia sebenar,” katanya sambil menggesa badan dunia turut berubah sejajar dengan peredaran zaman.

Beliau turut mencadangkan PBB mengadakan mesyuarat menerusi sidang video supaya peserta tidak lagi perlu bersusah payah mengembara jauh untuk berhimpun di New York.

Bukele adalah bekas datuk bandar ibu negara San Salvador. Beliau menjadi Presiden pada Jun lalu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )