Presiden Israel mula rundingan pilih PM

BAITULMAQDIS,. Presiden Israel, Reuven Rivlin, memulakan rundingan penting dua hari semalam dengan pemimpin parti sebelum memilih calon untuk jawatan Perdana Menteri.

Ia susulan kebuntuan pilihan raya kedua yang menyukarkan pembentukan kerajaan baharu.

Presiden Israel bertanggungjawab untuk memilih ahli politik dengan peluang terbaik membentuk kerajaan yang stabil.

Walaupun selalunya ia cuma formaliti, kali ini Rivlin memainkan peranan penting selepas keputusan pilihan raya tidak memberikan majoriti kepada calon utama.

“Presiden, dalam kes ini, akan terbabit secara khusus. Beliau akan meminta jawapan jelas.

“Saya rasa beliau akan menjadikan rundingan kali ini kepada perbincangan yang boleh memberikan kemungkinan lain, sesuatu yang belum pernah didengar rakyat,” kata pembantu kanan Rivlin, Harel Tubi.

Pada pilihan raya minggu lalu, parti Blue and White pimpinan Benny Gantz menang 33 kerusi dalam Parlimen manakala Likud yang diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu memperoleh 31 kerusi.

Faktor penentu adalah bekas Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman dan parti pimpinannya, Yisrael Beitenu, yang memperoleh lapan kerusi.

Lieberman menuntut pembentukan kerajaan perpaduan dengan dua parti utama yang sekular dan tidak termasuk parti ultra Ortodoks Yahudi.

Menyukarkan keadaan adalah parti Blue and White enggan bekerjasama dengan Netanyahu kerana beliau berhadapan kemungkinan didakwa atas tuduhan rasuah. — Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )