PRK DUN Slim: Mohd Zaidi sudah meliputi lebih 60 peratus kawasan

TANJUNG MALIM,. Memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz telah berkempen meliputi lebih 60 peratus kawasan DUN itu.

Katanya, beliau yakin dapat menjalankan kempen ke seluruh kawasan DUN itu esok, dan bercadang untuk meneruskan kempen sebanyak tiga kali di setiap kawasan sehingga 28 Ogos ini, bagi bertemu lebih ramai pengundi.

“Pada hari ini, kempen ditumpukan di kawasan pasar dan kedai makan, manakala petang ini saya menemui pengundi dengan berkempen rumah ke rumah di Kampung Klah Baru, sebelum ke pekan lama Slim yang saya jangka dapat memasuki 90 peratus kawasan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu S. Santharasekaran dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Dalam pada itu, Mohd Zaidi menjelaskan kerajaan sedang berusaha mengatasi masalah banjir melibatkan lima kampung di sini, berpunca daripada air Sungai Slim yang melimpah.

Katanya, perkara itu sebelum ini telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah dan persidangan DUN Perak, selain kepada kerajaan Pusat.

“Saya juga sudah meminta satu langkah segera diambil, bagi mengatasi masalah banjir ini buat jangka masa panjang, supaya kejadian ini tidak berulang,” katanya.

Selain itu, Mohd Zaidi berkata, usaha mengatasi permasalahan penempatan untuk generasi kedua di kampung tradisional dan Felda, yang juga antara perjuangan Allahyarham Mohd Khusairi akan diteruskan beliau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )