PRK Kimanis: BN optimis raih sokongan Anifah Aman

PRK Kimanis: BN optimis raih sokongan Anifah Aman

MEMBAKUT,. Barisan Nasional (BN) optimis mantan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada parti itu sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) itu nanti.

Keyakinan itu disuarakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berpendapat kewibawaan Anifah selaku wakil rakyat di parlimen tersebut dahulu mampu menarik sokongan pengundi.

Bahkan, jelasnya lagi, kesediaan mantan Ketua UMNO Bahagian Kimanis itu menyokong calon BN yang diumumkan pada Rabu memberikan kelebihan kepada jentera parti menggempur pihak lawan.

Ahmad menambah meskipun Anifah bukan lagi berada di dalam UMNO, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin telah mengesahkan mereka berdua sudah berhubung dan bersetuju untuk memberikan sokongan.

“Beliau juga telah menyatakan dalam media bahawa beliau menyokong calon UMNO dan BN yang dikemukakan, itu satu plus point yang amat besar kepada jentera dan menambah semangat keyakinan kami,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui dalam majlis ceramah perdana PRK Kimanis di Kampung Pimping, Membakut, pada tengah malam tadi.

Untuk rekod, pada Rabu, BN mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin sebagai calon bagi PRK Kimanis.

Terdahulu, dalam ceramah perdana yang menyaksikan kehadiran calon, Mohamad dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkongsi pentas utama.

Kira-kira 1,000 hadirin yang terdiri daripada penduduk setempat dan jentera parti menghadiri ceramah berkenaan yang bermula jam 9 malam.

Ahmad Zahid terdahulu dalam ucapannya menegaskan pemilihan Mohamad sebagai calon BN pada PRK Kimanis memperlihatkan UMNO pusat mengotakan janji dalam menunaikan autonomi kepada UMNO Sabah.

Tegasnya, BN dilihat berada di landasan tepat untuk mengulangi sejarah PRK Tanjung Piai, Johor dengan syarat semua jentera harus bekerja keras sebaik penamaan calon diumumkan pada 4 Januari nanti.

CATEGORIES
TAGS
Share This