PRK Kimanis: Patuhi peraturan, etika kempen

PRK Kimanis: Patuhi peraturan, etika kempen

KIMANIS,. Semua pihak diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, yang bermula selepas selesai proses penamaan calon Sabtu ini sehingga pukul 11.59 malam, 17 Jan 2020.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata sebarang aktiviti kempen seperti jamuan makanan dan minuman serta pemberian hadiah, sama ada dalam bentuk barangan ataupun wang secara rasuah yang boleh mempengaruhi pengundi adalah menjadi kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengingatkan bahawa apa-apa tindakan ataupun pernyataan yang mengganggu mana-mana pengundi daripada menjalankan hak pemilihan mereka secara bebas juga merupakan satu kesalahan di bawah akta sama.

Katanya ia termasuk tindakan atau pernyataan yang bertujuan ataupun cenderung untuk mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati ataupun permusuhan antara kaum selain yang mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan ataupun halangan ke atas pengundi.

“(Selain itu) tindakan mengancam hendak mengenakan apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan ataupun kerohanian ke atas pengundi.

“Tindakan atau pernyataan yang mendorong mana-mana pengundi supaya mempercayai dia atau mana-mana orang akan menjadi seorang yang dimurkai Tuhan atau yang dicela kerohaniannya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata SPR juga mengingatkan calon ataupun parti yang diwakili calon agar tidak menyalahgunakan aset kerajaan ataupun kuasa kerajaan untuk meraih undi.

“Segala arahan pihak berkuasa, terutamanya daripada SPR, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) hendaklah sentiasa dipatuhi,” menurutnya.

Sementara itu, Azhar berkata mana-mana pihak yang mempunyai maklumat ataupun keterangan mengenai pelanggaran undang-undang oleh mereka yang terlibat dalam aktiviti kempen disarankan untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, beliau berkata segala perbuatan yang melibatkan amalan rasuah haruslah dilaporkan kepada SPRM, manakala bagi kesalahan lain di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya atau di bawah Kanun Keseksaan hendaklah dilaporkan kepada PDRM.

Beliau juga mengingatkan sebarang bentuk kempen atau aktiviti merayu undi adalah dilarang pada hari mengundi.

“Ini termasuklah melalui saluran media sosial. Kesemua parti adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggarakan pejabat atau barung semasa hari mengundi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This