PRK Slim: Proses pencalonan ‘tenang’ dalam kebiasaan baharu semalam.

PRK Slim: Proses pencalonan ‘tenang’ dalam kebiasaan baharu semalam.

TANJUNG MALIM,. Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim semalam berjalan dengan lancar dan ‘tenang’ dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikenakan bagi mengekang pandemik COVID-19.

Seawal jam 6.30 pagi, pihak polis telah mula mengawal trafik, pada ketika pengamal media juga dilihat tiba di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini yang menjadi pusat penamaan calon.

Pemeriksaan ketat dijalankan Angkatan Pertahanan Awam (APM) di simpang masuk sebelum memasuki pekarangan dewan tersebut oleh pihak berkaitan, termasuk pengamal media dan kakitangan kesihatan yang hanya dibenarkan masuk, selepas suhu badan diperiksa dan diarahkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal sepanjang masa berada di perkarangan dewan tersebut.

Sebagai langkah pencegahan terhadap penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan telah menyediakan sebuah khemah berhampiran kawasan itu, dengan kakitangan yang siap memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Calon, pencadang dan penyokong, dilihat tiba di pusat penamaan calon kira-kira jam 9 pagi, menaiki kereta bugi yang disediakan untuk kemudahan mereka.

Tiada pemimpin parti mahupun penyokong dilihat di sekitar pekarangan dewan itu, dengan polis mengadakan sekatan jalan raya di kawasan tersebut.

Ketika Pegawai Pengurus Pilihan Raya Syamsul Ridzuan Idris mengumumkan nama-nama calon bertanding PRK itu pada 10.35 pagi, tidak seperti pilihan raya sebelum ini, keadaan semalam tenang tanpa kedengaran sorakan atau pun tepukan penyokong.

PRK Slim 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Mereka adalah Timbalan Ketua Bahagian Umno Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, dari BN, manakala calon Bebas adalah S. Sentharasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang belum didaftarkan secara rasmi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dari BN, pada 15 Julai lepas.

PRK ini merupakan yang kedua diadakan ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), selepas PRK Chini pada 4 Julai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, proses penamaan calon berjalan dengan lancar hasil perancangan awal pihak polis.

Beliau juga menasihatkan calon-calon yang bertanding supaya mematuhi SOP yang berkuat kuasa ketika ini, dan berkempen secara berhemah.

“Kita berharap calon-calon ataupun ceramah-ceramah yang disampaikan, tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh mengandungi elemen-elemen hasutan atau boleh membuat masyarakat gusar,” katanya. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This