PRN Johor: Polis buka tujuh kertas siasatan semalam

PRN Johor: Polis buka tujuh kertas siasatan semalam

JOHOR BAHRU,. Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka tujuh kertas siasatan melibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, semalam.

Jurucakap media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Supt Ibrahim Mat Som berkata ia dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Selain itu Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan, masing-masing bagi perbuatan khianat dan khianat dengan api atau benda liputan, serta 24 (B)(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“PDRM Johor menasihatkan supaya semua parti serta kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster-poster, sepanduk, bendera, kain rentang dengan mencabut atau membakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan berkenaan merupakan perbuatan khianat dan menyalahi undang-undang serta boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata PDRM Johor telah meluluskan 36 permit ceramah di seluruh negeri Johor, pada hari sama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai hari mengundi bagi PRN Johor dan undi awal pada 8 Mac.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This