PRN Melaka: Calon bebas DUN Serkam berkuda keliling kampung sambil berkempen

PRN Melaka: Calon bebas DUN Serkam berkuda keliling kampung sambil berkempen

JASIN,. Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tampil dengan cara tersendiri, bersiar-siar menunggang kuda sambil berkempen di sekitar Kampung Paya Tanjung untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

Datuk Norazlanshah Hazali bekas pensyarah universiti awam itu menunggang kuda berwarna coklat di badan dengan tompok putih di kaki diberi nama Bonita yang memaparkan poster pilihan raya beliau mengandungi nombor giliran calon, nama beliau dan simbol pen yang diletakkan pada sisi pelana.

“Sebagai seorang Islam menunggang kuda adalah salah satu (amalan) mengikut sunnah dan disebabkan kekangan untuk berkempen dalam norma baharu ketika ini dan ia juga cara untuk beramah mesra dengan penduduk dan menyampaikan mesej mengapa mereka perlu mengundi saya pada PRN kali ini untuk mewakili suara mereka.

“Disebabkan pandemik agak sukar untuk kita mendekati penduduk secara dekat, jadi kita sebaik mungkin cuba mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Norazlanshah yang berusia 41 tahun mempunyai Ijazah Doktor Falsafah Sains Makanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berhasrat untuk menyelesaikan isu yang dihadapi nelayan di DUN Serkam serta berhasrat menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.

DUN Serkam yang mempunyai seramai 15,977 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Norazlanshah, Ahmad Bilal Rahudin daripada Perikatan Nasional (PN), Muhammad Khomeini Kamal daripada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Zaidi Attan wakil Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Serkam dimenangi penyandangnya Zaidi daripada BN dengan majoriti 2,737.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This