PRN Sabah: PAS beri laluan demi Muafakat – Hadi Awang

KOTA KINABALU,. PAS, yang tidak diberi kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, mengambil pendirian untuk memberikan laluan kepada rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi memastikan supaya tidak berlaku pertembungan.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ini juga bagi memelihara permuafakatan yang terjalin serta mengambil kira implikasi politik di masa akan datang.

“Keutamaan PAS adalah persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka dalam masa terdekat, di samping komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam Muafakat Nasional dan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata PAS menghormati sikap rakan sekutunya PN dan BN yang berhasrat untuk bertanding di kesemua 73 kerusi dalam PRN Sabah setelah usaha rundingan mengenai pembahagian kerusi dimuktamadkan.

Untuk rekod, PAS bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada PRU14, 2018, namun tewas kesemuanya.

Sebelum ini, PAS pernah menyatakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi pada PRN Sabah dengan penamaan calon esok dan pengundian 26 Sept.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )