PRN Sabah: Polis Sarawak akan bantu jika perlu

TAWAU,. Polis Sarawak akan dihantar sekiranya ada keperluan untuk membantu memastikan kelancaran proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis Sabah akan menentukan bilangan anggota bertugas yang diperlukan pada proses PRN nanti.

“Terpulang kepada Sabah sekiranya memerlukan bantuan, anggota paling dekat yang boleh dihantar ialah dari Sarawak dan sekiranya perlu lagi (tambahan) dari Semenanjung juga akan dihantar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini sempena lawatan Pemeriksaan Perintah Tetap Ketua Polis Negara di Sabah.

Menurut Huzir, elemen lain dalam PDRM akan turut membantu memperkukuhkan kawalan keselamatan sepanjang proses PRN Sabah itu nanti.

Mengenai lawatan beliau ke Sabah, Huzir berkata lebih 60 balai diperiksa sejak 22 Ogos lepas membabitkan tujuh pasukan pemeriksaan dari Bukit Aman.

“JSJ diamanahkan buat pemeriksaan terhadap dua kontinjen atau negeri iaitu di Sabah dan Perlis, untuk di Sabah kita telah lakukan pemeriksaan di balai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terpilih.

“Objektif utama melakukan pemeriksaan adalah bagi memastikan semua aspek pentadbiran berjalan dengan lancar dan memastikan kecekapan anggota sentiasa pada tahap maksimum dan memastikan semua bangunan dan aset dalam keadaan baik,” katanya lagi.

Huzir berkata hasil pemeriksaan itu mendapati ada balai dan IPD yang uzur dan perlu dibaik pulih.

“Contohnya Balai Polis Weston, Beaufort tidak ada kemudahan air dan balai polis Luyang, Kota Kinabalu dindingnya telah rosak dan dimakan anai-anai yang perlu tindakan segera, selain itu balai polis di Tambisan, Lahad Datu masih menggunakan kontena dan bekalan elektrik secara tak tetap,” katanya.

Menurutnya, laporan penuh berkaitan hasil pemeriksaan itu akan dibawa ke Bukit Aman dan diserahkan kepada Ketua Polis Negara serta jabatan berkaitan bagi melihat dan mengambil tindakan selanjutnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )