PRN Sabah: Presiden Warisan mohon maaf atas kenyataan Mohammadin
KOTA KINABALU,. Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan seorang pemimpin parti itu yang menganggap insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 2013 sebagai sandiwara.
Ketua Menteri Sabah itu menjelaskan pemimpin parti berkenaan mengeluarkan kenyataan itu secara spontan dan telah disalah ertikan namun sama sekali tidak berniat menghina perjuangan perajurit dan anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa demi mempertahankan rakyat dan negara.
Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, kata Mohd Shafie, beliau amat memahami keperitan yang terpaksa ditempuh anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.
“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19, beliau juga memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan sebagai barisan hadapan menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.
Justeru, katanya, kerajaan Sabah memperuntukan dana sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagih-agihkan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi.
“Jumlah tersebut tidaklah banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan di bawah bidang kuasa Persekutuan,” katanya.
Semalam viral video berdurasi satu minit sembilan saat berkaitan ucapan Datuk Mohamaddin Ketapi, calon Warisan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama yang menganggap peristiwa Lahad Datu itu, yang mengorbankan 10 anggota keselamatan, sebagai sandiwara.
— BERNAMA