PRN Sabah: Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

KOTA KINABALU, 26 Sept — Semua 741 pusat mengundi di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi proses pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, ditutup pada 5 petang tadi.

Terdapat juga pusat pengundian di beberapa kawasan ditutup lebih awal kerana jumlah pengundi tidak ramai. Ada ditutup pada 2 petang dan ada juga ditutup pada 3 petang.

Proses pengundian berjalan lancar sepanjang tempoh pusat mengundi dibuka pada 7.30 pagi, tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Setelah pusat mengundi itu ditutup, maka bermulalah proses pengiraan undi bagi menentukan parti yang dipilih rakyat Sabah untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri baharu.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini dilapor berkata keputusan penuh PRN ini dijangka diketahui pada kira-kira 10 malam ini.

Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah menerusi laman Facebooknya melaporkan sebuah helikopter membawa dua peti undi dari Pulau Mantanani tiba paling awal untuk dibawa ke pusat penjumlahan undi.

SPR dilaporkan akan menggunakan 20 helikopter untuk membawa peti-peti undi dari kawasan pedalaman seluruh Sabah.

Terdahulu, beberapa calon bertanding pada PRN Sabah kali ini turut tidak melepaskan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka walaupun sejam sebelum waktu mengundi ditamatkan.

Ini termasuk Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Seri Anifah Aman yang juga calon DUN Bongawan yang selesai mengundi pada pilihan raya kali ini di Sekolah Kebangsaan Kg. Brunei, Membakut, pada 3.50 petang.

Selain itu, calon Warisan bagi kerusi DUN Sungai Sibuga Datuk Armani Mahiruddin turut menunaikan tanggungjawab mengundi di SMK Merpati, Sandakan, pada 3.17 petang.

Peratusan keseluruhan keluar mengundi masih belum diperoleh setakat ini.

Seramai 447 calon daripada 15 parti termasuk 56 calon Bebas, bersaing untuk merebut 73 kerusi DUN, dengan 13 kerusi baharu ditawarkan pada pilihan raya ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )